ADUN Kukusan agih bantuan kepada 63 Pemandu teksi, E-Hailing

TAWAU: Parti Harapan Rakyat Sabah (HARAPAN RAKYAT) bersama Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan terus komited dalam menyantuni rakyat di Kukusan dan kawasan sekitar daerah ini.

Timbalan Presidennya, Rina Jainal berkata, sepanjang dua minggu bersama HARAPAN RAKYAT, pihaknya menyantuni ramai pihak termasuk golongan memerlukan di sekitar Dewan Undanga Negeri Kukusan.

Katanya, antara golongan yang sering menjadi perhatian pihaknya adalah pemandu teksi, pemandu e-hailing dan food rider.

“Mereka inilah antara golongan yang keluar bekerja pada awal pagi dan pulang ke rumah lewat makan demi mencari rezeki untuk keluarga.

“Ada pelbagai masalah yang mereka hadapi termasuk terjejas pendapatan, lesen dan insuran kemalangan,” katanya.

Sehubungan itu, Pejabat ADUN Kukusan dan Parti HARAPAN RAKYAT meneruskan usaha menyantuni golongan ini menerusi agihan bakul makanan.

Seramai 48 daripadanya diberikan kepada pemandu teksi, pemandu e-hailing dan food rider pada Khamis lalu, manakala 15 lagi akan diedarkan secara berperingkat bermula hari ini.

Rina mengharapkan dengan fasa endemik COVID-19 ini, ekonomi golongan tersebut semakin baik khususnya membabitkan pemandu teksi.

“Pertemuan ini juga membolehkan saya mendengar sendiri masalah mereka selain bertukar-tukar buah fikiran ke arah meningkatkan mutu perkhidmatan saya sebagai wakil rakyat.

“InsyaAllah, kami akan menjejaki lebih ramai pemandu teksi, pemandu e-hailing dan food rider yang memerlukan bantuan untuk disantuni,” katanya.