KOTA KINABALU : Koperasi Serbaguna SANYA Berhad (KOSAN) diberikan peluang menjalankan kerja-kerja penyambungan kontrak sekali gus membekalkan produk pakaian dan kasut kepada kerajaan.
Pengerusinya, Datuk Ellron Angin berkata, badan berkenaan digesa supaya membuat rombakan pengurusan koperasi bagi membuktikan kemampuan untuk menampung kontrak Kerajaan.
Katanya, sebelum ini koperasi tersebut merupakan pembekal kerajaan negeri untuk produk pakaian seragam dan kasut sekolah.
“Semua pakaian sekolah dan kasut akan disumbangkan secara percuma kepada murid semua sekolah di negeri ini.
“KOSAN masih mempunyai kontrak bersama Kerajaan negeri sehingga hujung tahun ini selepas ianya disambung pada tahun lalu.
“Kita simpati dengan keadaan pekerja seramai 230 orang melibatkan kilang perusahaan pakaian Tuaran dan kilang kasut Papar milik KOSAN yang hilang pekerjaan ekoran pemberhentian operasi dua kilang berkenaan,” katanya di sini semalam.
Ellron berkata, ini diisebabkan ketiadaan pembeli produk keluaran syarikat sejak hujung tahun lalu.
“Perkara ini sudah dibawa dalam Jemaah Menteri dan bersetuju untuk memberi peluang kepada KOSAN.
“Bagaimanapun, mereka perlu merombak dan memperbaiki syarikat dibawah koperasi bagi membuktikan mereka boleh menampung kontrak seperti sebelum ini, mungkin kita akan pertimbangkan lagi,” jelas Ellron.
Menurutnya, beliau mahu rombakan ini akan dapat dibuat cepat mungkin untuk membolehkan kerja-kerja ini dapat dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
“Dalam tempoh sama, kita akan memikirkan memberi peluang lagi. Tapi setakat ini seperti yang dalam perjanjian, difahamkan ia akan tamat pada tahun ini saja,” kata Ellron.