KOTA KINABALU : Sambutan ulang tahun kelahiran rasmi Yang Terutama Negeri Sabah tahun ini tidak akan berlangsung selama tiga bulan, seperti didakwa oleh sesetengah pihak.
Pengerusi Jawatankuasa Induknya, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam menjelaskan sambutan tersebut hanya akan berlangsung dalam tempoh satu bulan, iaitu pada Jun 2025, membabitkan tujuh acara utama yang telah dirancang.
Katanya, keputusan ini selaras dengan ketetapan Kabinet Negeri Sabah bahawa majlis rasmi sambutan akan diadakan pada 21 Jun nanti.
“Untuk makluman, jumlah acara telah dikurangkan daripada 12 acara pada tahun 2024 kepada tujuh sahaja pada tahun ini.
“Selain itu, peruntukan perbelanjaan juga telah dikurangkan sebanyak 30 peratus berbanding tahun lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Joachim merupakan Timbalan Ketua Menteri berkata, beliau turut menekankan bahawa kesemua acara dianjurkan merupakan program tradisi yang lazim diadakan sempena ulang tahun kelahiran rasmi TYT Sabah setiap tahun.
“Kita harap dengan penjelasan ini, tidak timbul sebarang kekeliruan berhubung penganjuran Sambutan ulang tahun kelahiran rasmi Yang Terutama Negeri Sabah,” kata Joachim.