RM80.6 juta dibelanjakan bantu kontraktor G1-G4 di Sabah, Sarawak dan Labuan – Arthur

KENINGAU: Sebanyak RM80.6 juta daripada peruntukan RM100 juta telah dibelanjakan sehingga 7 Mac lepas bagi membantu kontraktor G1-G4 di negeri Sabah, Sarawak dan Labuan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata status pelaksanaan kemajuan kerja terkini bagi Program Pembangunan Kontraktor Kecil Penyenggaraan (PKPP) Fasa 1 sebanyak 140 kerja atau 93.3 peratus telah diselesaikan manakala 10 kerja (6.7 peratus) dalam pembinaan dengan jumlah keseluruhan 150 arahan kerja penyenggaraan berkala pavemen dan bukan pavemen.

Manakala bagi PKPP Fasa 2 pula, sebanyak 71 kerja (92.2 peratus) telah diselesaikan manakala 10 kerja (7.8 peratus) dalam pembinaan dengan jumlah keseluruhan 77 arahan kerja penyenggaraan berkala pavemen dan bukan pavemen, katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pemantapan Kontraktor anjuran Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) di sini, hari ini.

Seramai 120 kontraktor menghadiri seminar yang bertujuan untuk menyampaikan maklumat terkini pembinaan kepada para penggiat industri pembinaan khususnya
kepada kontraktor di Daerah Keningau dan daerah yang berhampiran dengannya serta meningkatkan lagi kefahaman peserta industri pembinaan di Sabah terhadap Program CIDB yang berkaitan Pendaftaran Kontraktor dan MCORE.

Arthur berkata melalui Bajet 2022, Kerajaan melalui CIDB juga akan mewujudkan accelerator program khusus kepada kontraktor belia G1 hingga G4 melalui kursus peningkatan kapasiti dan on-the-job training dengan peruntukan RM10 juta.

Beliau berkata CIDB akan mempergiatkan lagi perancangan dan pelaksanaan inisiatif-insiatif pemerkasaan kontraktor bagi mewujudkan kontraktor G1-G4 yang berdaya saing dan menggalakkan mereka meningkatkan keupayaan ke kelas yang lebih tinggi seiring dengan keperluan industri.

Mengulas lanjut, beliau berkata CIDB sedia membantu para kontraktor meningkatkan pengetahuan dan kemahiran dalam teknologi terbaru industri pembinaan dengan
menawarkan kursus-kursus yang selari dengan perkembangan teknologi terkini.

Katanya kerajaan sedar kepentingan industri pembinaan dalam merancakkan ekonomi negara terutamanya dari aspek penggandaan dalam kitaran ekonomi pembinaan yang memainkan peranan yang penting kepada ekonomi setempat.