PH Sabah akan ambil tindakan isu 40 peratus pemberian hasil Persekutuan jika Sabah gagal dapatkan formula asal

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah tidak berpuas hati atas jawapan Menteri Kewangan Persekutuan, Tengku Zafrul Aziz di Dewan Rakyat yang menyatakan formula 40 peratus pemberian hasil Persekutuan di Sabah di bawah Perkara 112 C&D tidak lagi terpakai kerana ada persetujuan baharu yang dicapai di antara Kerajaan Sabah dengan Kerajaan Persekutuan.

PH Sabah dalam satu kenyataan menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang mencabar kesahihan penjelasan Menteri Kewangan Persekutuan, apatah lagi persetujuan baharu yang dinyatakan dibuat semasa tempoh darurat, iaitu di antara tahun 1969 dan 1971 serta melibatkan warta kerajaan yang dirahsiakan daripada rakyat Sabah.

Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Sabah (PH) Sabah telah bermesyuarat di Ibu Pejabat UPKO, hari ini, untuk membincangkan isu-isu yang menjadi keprihatinan rakyat Sabah.

PH Sabah mengalu-alukan semangat Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor semasa menyampaikan ucapan di Dewan Undangan Negeri Sabah semalam bahawa Kerajaan Sabah akan terus memperjuangkan perolehan 40 peratus hasil persekutuan di Sabah tersebut.

Bagaimanapun, PH Sabah tidak mahu melihat ianya hanya menjadi satu retorik politik dan memberikan tempoh satu bulan kepada Kerajaan Sabah untuk mendapatkan perolehan hasil sepertimana dalam Perkara 112 C&D Perlembagaan Persekutuan, iaitu berdasarkan formula 40 peratus atau rundingan yang lebih baik.

Jika kerajaan negeri gagal mendapatkan semula perolehan hasil berdasarkan formula 40 peratus tersebut dalam tempoh sebulan, PH Sabah, khususnya Ahli-Ahli Parlimen dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri kami, tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang ke mahkamah untuk mencabar perkara ini.

PH Sabah berpendapat jika benar ada warta kerajaan yang dirahsiakan daripada rakyat Sabah berhubung pemberian hasil 40 peratus tersebut dan dibuat semasa tempoh darurat, ia merupakan satu bentuk penipuan ke atas pembentukan Negara Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963.

PH Sabah akan terus menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan Perlembagaan Negeri Sabah bagi menuntut hak-hak Sabah sepertimana dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Susulan ini juga, PH Sabah memutuskan akan mengadakan satu forum melibatkan pengamal-pengamal perundangan dengan rakyat Sabah yang prihatin untuk membicarakan kegagalan Kerajaan Persekutuan menunaikan pemberian hasil berdasarkan formula 40 peratus sepertimana dalam Perlembagaan dan isu-isu yang bersangkut paut secara spesifik dengan Perkara 112 C&D tersebut.