TONGOD: Empat kampung di Mukim Keramuak memperoleh peruntukan RM450,000 bagi melaksanakan projek pembangunan asas luar bandar di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, pengumuman tersebut diagihkan menerusi peruntukan Dewan Undangan Negeri untuk membaikpulih tiga dewan bagi kegunaan orang ramai.
Katanya, antaranya Kampung Kuala Keramuak Tenaga Baru menerima diperuntukan RM150,000 manakala RM100,000 disalurkan untuk menyelenggara Dewan Terbuka Kampung Keramuak Dalam.
“RM50,000 lagi digunakan membina tandas awam serta pondok Team Aki Keramuak bagi mengawal kumpulan gajah liar yang sering dilaporkan berada di kawasan itu.
“Jawatankuasa Bencana Alam Negeri turut meluluskan peruntukan RM800,000 untuk membekalkan tangki air kepada penduduk terjejas bekalan air di seluruh daerah Tongod termasuk perkampungan dalam Mukim Keramuak,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Aidilfitri di Dewan Kuala Keramuak Dalam, di sini semalam.
Masiung merupakan Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) berkata, setiap kampung terjejas akibat kemarau akan memperoleh 10 tangki bagi membolehkan penduduk mengambil air yang dibekalkan oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
“Sesemua projek asas luar bandar akan dilaksanakan bermula awal bulan Mei depan, dijangka akan siap sepenuhnya dalam tempoh terdekat sekali gus dapat digunakan oleh penduduk kampung berkenaan,” jelas Masiung.
