TENOM: Kerajaan negeri masih menunggu peruntukan daripada Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk melaksanakan kerja pembaikan landasan kereta api yang rosak di antara Stesen Pangi dan Rayoh, di sini.
Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata sebanyak RM4.7 juta peruntukan diperlukan untuk tujuan itu yang dikemukakan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) kepada MOT pada 20 Disember tahun lalu.
Beliau berkata, peruntukan itu pada dasarnya sudah diluluskan MOT pada Ogos lalu dan kini hanya menunggu proses penyaluran peruntukan kepada kerajaan negeri.
Katanya, pelaksanaan proses pembaikan laluan terbabit akan dimulakan sejurus peruntukan itu diperolehi.
“Pihak JKNS telah mengenal pasti skop yang perlu dilaksanakan bagi membolehkan sektor Beaufort dan Tenom dapat dihubungkan semula dengan pengangkutan rel.
“Skop kerja itu merangkumi tiga bahagian iaitu skop kerja pembersihan dengan kos sebanyak RM1.69 juta, skop pembaikan dua buah jambatan dengan kos sebanyak RM1.17 juta dan skop kerja pembaikan kekal landasan kereta api dengan kos sebanyak RM1.8 Juta,” katanya dalam satu kenyataan.
Menteri Kerja Raya Sabah yang turut bertanggungjawab terhadap JKNS itu berkata demikian bagi mengulas keluhan penduduk Kampung Rayoh yang berdepan kesulitan ke pekan Tenom disebabkan laluan kereta api yang belum dipulihkan.
Kerosakan landasan di sektor terbabit berpunca daripada banjir besar di kawasan pedalaman Sabah pada 31 Oktober 2022 yang menjejaskan landasan sepanjang 27 kilometer, di antara Halogilat dan Tenom.
Sejak itu perkhidmatan kereta api Beaufort-Tenom ditangguhkan sehingga ke hari ini, manakala perkhidmatan yang ada bagi sektor berkenaan ialah Tenom-Pangi dan Beaufort-Halogilat-Rayoh.