RM2 juta diperuntukkan naik taraf Pusat Kebudayaan Murut Sabah – Hajiji

TENOM: Sejumlah RM2 juta diluluskan bagi kerja-kerja menaiktaraf Pusat Kebudayaan Murut Sabah sekali gus sebagai  usaha menarik kehadiran pelancongan datang ke daerah berkenaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, peruntukkan itu merangkumi kerja-kerja menaiktaraf  tiga komponen utama termasuk pembinaan Rumah Pokok, replika kubur dan Rumah Tengkorak.

“Projek tersebut akan menambah lebih banyak tarikan pelancong di Pusat Kebudayaan Murut Sabah dan seterusnya mewakili tradisi dan budaya masyarakat Murut,” katanya di sini, hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri melihat kepentingan sambutan pelbagai budaya dan kesenian seperti Pesta Kalimaran.

Pesta Kalimaran berpotensi menjadi perayaan untuk mempamerkan kekayaan dan keunikan budaya, kesenian dan tradisi masyarakat Murut ke seluruh negara dan lebih luas.

“Walaupun Sabah sudah terkenal sebagai destinasi ekopelancongan, pelancongan budaya juga perlu diberi keutamaan.

“Kepelbagaian dan keunikan tradisi, serta seni budaya daripada 35 etnik dan 217 sub-etnik di Sabah merupakan kekuatan yang boleh dijadikan modal dalam pelancongan budaya kita,” katanya.

Bagi tujuan ini, Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri telah menggariskan tujuh keutamaan – pendigitalan seni budaya atau eBudaya;  pelancongan budaya bersepadu;  pemeliharaan budaya;  mengeratkan hubungan etnik;  budaya penyelidikan dan dokumentasi;  penyebaran seni budaya;  dan budaya perlindungan harta intelek.

Keutamaan ini adalah selaras dengan inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMU) di bawah bidang kuasa Lembaga Kebudayaan Sabah yang akan membolehkan keturunan budaya, tambahnya.