RM15 juta perkasa, mantapkan program bantuan IKS di Sabah – Hajiji

TAWAU: Sabah memperuntukkan RM15 juta menyokong, memperkasa dan memantapkan Program Bantuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dalam tempoh sama RM6.17 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pembangunan dan Penyelidikan bagi mempergiatkan promosi produk Sabah ke pasaran domestik dan antarabangsa.

Katanya, program Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dan Halal diperkenalkan tahun ini bagi melayakkan produk IKS Sabah bersaing di peringkat antarabangsa.

“Sejumlah RM7.1 juta turut diagihkan kepada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) bagi meneruskan usaha menyedia dan membangunkan premis pernigaan, kedai-kedai sosio-ekonomi dan lain-lain program keusahawanan tahun ini.

“Justeru saya mahu usahawan merebut peluang yang disediakan kerajaan, termasuk terus meningkatkan ilmu dan kemahiran agar produk mereka mampu bersaing hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. 

Hajiji berkata, kerajaan komited membantu komuniti usahawan di negeri ini supaya dapat terus berkembang dan memantapkan perniagaan mereka.

“Justeru pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (PKS) terus diberi tumpuan sebagai industri pendukung dan pemangkin kepada sektor pembuatan.