Rayuan Peter Anthony diputuskan 18 April

KUALA LUMPUR: Pendakwaan menegaskan bahawa bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony pada awal lagi sudah mempunyai niat untuk menipu dengan ‘merampas’ projek kerja operasi dan penyelengaraan sistem mekanikal dan elektrikal di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dalam hujahannya, berkata Peter sendiri dalam keterangannya ketika membela diri mengakui bahawa ia perkara biasa di negara ini untuk melobi projek walaupun ia ditawarkan secara tender terbuka.

Wan Shaharuddin berkata, pendakwaan menyatakan bahawa elemen kerugian secara salah dalam kes membabitkan Peter yang didapati bersalah oleh mahkamah sesyen kerana memalsukan dokumen surat kontrak kerja, adalah persyu (Peter) memperoleh berjuta ringgit daripada projek itu hasil pemalsuan berkenaan.

Katanya, hakim perbicaraan mahkamah sesyen sudah meneliti bukti keadaan seperti siapa yang bakal memperolehi keuntungan jika projek itu diberikan kepada mana-mana pihak dan siapa yang mempunyai peluang dalam memalsukan dokumen (surat kontrak kerja) terbabit.

“Yang paling penting, hakim bicara membuat dapatan dalam alasan penghakimannya bahawa elemen pemalsuan sudah selesai atau lengkap apabila surat itu diserahkan kepada arwah Datuk Azlin (bekas Ketua Setiausaha Sulit Datuk Seri Najib Razak, Allahyarham Datuk Azlin Alias) bagi mendapatkan sokongan bekas perdana menteri itu.

“Ini menunjukkan perayu (Peter) merupakan ‘pembuat’ surat itu dan bukannya saksi pendakwaan kelapan….Ketika membela diri, tertuduh sendiri mengaku bahawa menjadi amalan biasa untuk melobi projek di negara ini meskipun ia ditawar secara tender terbuka. Ia amat menyedihkan.

“Oleh itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menolak rayuan perayu dan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya,” katanya.

Wan Shaharuddin berkata demikian dalam prosiding rayuan Peter untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 selepas didapati bersalah memalsukan surat kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) tujuh tahun lalu.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman penjara dan denda itu pada 26 Mei tahun lalu, selepas mendapati Peter, 51, bersalah atas pertuduhan itu selain memutuskan tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah diakhir kes pembelaanya.

Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd, didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014 iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014, mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Terdahulu, peguam S Devanandan yang mewakili Peter, berhujah bahawa surat kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan itu ditandatangani saksi pendakwaan kelapan iaitu Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS, Profesor Dr Shariff Abdul Kadir S Omang dan bukannya perayu.

Katanya, Shariff dalam keterangannya mengesahkan beliau menandatangani surat itu bagi pihak saksi pendakwaan pertama, iaitu Naib Canselor UMS, Prof Datuk Dr Mohamad Harun Abdullah, bagaimanapun Mohamad Harun dalam keterangannya berkata, beliau tidak pernah memberi kuasa kepada Shariff untuk berbuat demikian.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache menetapkan pada 18 April ini bagi keputusan rayuan.