Pulau Sebatik diisytihar bencana kemarau

TAWAU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau mengisytiharkan bencana kemarau di Pulau Sebatik berkuat kuasa hari ini susulan cuaca panas berpanjangan yang menjejaskan bekalan air serta kehidupan penduduk setempat.

Pengerusi JPBD Tawau, Joseph Pang, berkata pengisytiharan itu dibuat pada jam 10 pagi bagi membolehkan semua agensi berkaitan menyelaras tindakan segera termasuk penyaluran bantuan dan pengurusan sumber air di kawasan terjejas.

Menurutnya, antara fokus utama ketika ini adalah memastikan bekalan air bersih mencukupi, selain memantau keadaan kesihatan dan kebajikan penduduk yang terkesan akibat kemarau.

“Semua pihak termasuk agensi kerajaan dan komuniti setempat digesa bekerjasama bagi mengurangkan impak bencana ini.

“Penduduk juga dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemah serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPBD Tawau akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil tindakan susulan mengikut keperluan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan penduduk di Pulau Sebatik sentiasa terpelihara.