TAWAU : Kolaborasi antara Politeknik Tawau Sabah (PTS) bersama sektor swasta dikenal pasti mampu memberi manfaat bukan sahaja kepada kalangan pihak industri malah terhadap komuniti setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri, Datuk Seri Dr Zainal Adlin Tengku Mahamood berkata, kerjasama ini sangat penting untuk memastikan impak program kolaborasi dapat dirasai secara lebih meluas diantara kedua-dua pihak.
Katanya, kerjasama ini bertujuan memperkasakan teknologi, latihan, kurikulum, penyelidikan, pengajaran serta menitik beratkan aspek kebajikan pelajar.
“Usaha merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan PTS untuk memperkasa kebolehpasaran graduan melalui kerjasama yang lebih strategik.
“Kita berharap graduan Politeknik Tawau Sabah dapat memperoleh peluang pekerjaan yang lebih baik sekali gus relevan dengan keperluan industri semasa,” katanya ketika merasmikan Program Hari Bersama Industri 2024 di sini semalam.
Zainal Adlin merupakan Presiden Sail Malaysia berkata, secara tidak langsung ini mampu membuktikan komitmen kedua-dua dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan sekali gus memberi sumbangan positif kepada ekonomi tempatan.
Pada majlis itu, Zainal Adlin menyaksikan sesi menandatangani Surat Hasrat antara pihak industri bersama Politeknik Tawau Sabah.
Sebanyak lima industri utama menandatangani Surat Hasrat Kolaborasi bersama Politeknik Tawau Sabah.
Antaranya, Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Malaysia (YATIM), The Hidden Sanctuary, Koperasi Komuniti Pelancongan dan Kebudayaan Madai Berhad, Sukau Greenview Travel & Tours Sdn. Bhd, dan NTC Travel & Tours Sdn. Bhd.
Pengarah Politeknik Tawau Sabah, Sahran @ Awang Mohidin menandatangani Surat hasrat tersebut bersama pihak industri.