Lelaki bersama 13 rekod jenayah ditahan ceroboh rumah di Tawau

TAWAU : Seorang lelaki tempatan mempunyai 13 rekod jenayah lampau termasuk kes dadah ditahan selepas dipercayai menceroboh sebuah rumah di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, Tawau, disini semalam.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek berusia 41 tahun selepas polis menerima laporan daripada seorang wanita berkaitan rumahnya diceroboh pada 2 Julai lalu.

Katanya, mangsa berusia 42 tahun itu mendakwa rumahnya di Taman Tawau, Jalan Chong Thien Vun, dimasuki seorang individu tidak dikenali.

“Setelah laporan dibuat, pihak polis menjalankan siasatan termasuk menggunakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di luar rumah mangsa.

“Berdasarkan hasil siasatan rakaman CCTV mendapati, suspek memasuki rumah mangsa jam 4.22 pagi dan memanjat pagar hadapan rumah mangsa serta mencabut kamera CCTV terpasang di luar rumah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jasmin berkata, tindakan suspek itu untuk mengelakkan sebarang rakaman perbuatan jenayahnya sekali gus membuktikan cuba mengelak dirinya dikesan.

“Modus operandi suspek dipercayai memilih untuk menyasarkan rumah tidak berpenghuni atau ditinggalkan sementara waktu.

“Ini membolehkan suspek melakukan kegiatan jenayah dengan lebih mudah tanpa diganggu. Taktik ini membuktikan suspek merancang serta mengetahui cara mengelakkan diri daripada ditangkap,” jelas Jasmin.

Menurutnya, pihak polis kemudiannya berjaya menjejaki suspek berdasarkan maklumat berdasarkan hasil siasatan dijalankan terhadapnya.

“Siasatan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah terdahulu kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

“Kes ini kini disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh,” kata Jasmin.