KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud mengesahkan seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) yang berkhidmat di pejabatnya telah ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan di Facebook malam tadi, Mustapha berkata kementerian bertindak segera dengan mengarahkan pegawai terbabit meletakkan jawatan serta-merta.
Beliau turut mendedahkan bahawa Unit Integriti KPT telah membuka siasatan dalaman yang boleh membawa kepada tindakan tatatertib mengikut peraturan perkhidmatan.
“Kementerian menegaskan tiada sesiapa yang terkecuali daripada undang-undang atau tatakelola perkhidmatan awam,” katanya sambil menambah tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan dan kerjasama dengan pihak berkuasa.
Mustapha turut menggesa semua pihak mengelak membuat spekulasi kerana ia boleh menjejaskan integriti siasatan yang sedang berjalan.
