Terima BN Demi Kestabilan Politik Sabah- Aksyah

KOTA KINABALU: Aktivis pro-GRS, Aksyah Nasrah, mempertahankan keputusan pimpinan tertinggi menerima semula Barisan Nasional (BN) ke dalam kerajaan negeri, langkah yang disifatkannya sebagai perlu bagi memastikan Sabah tidak kembali bergolak.

Katanya, keputusan itu mesti dilihat dalam konteks lebih besar, terutama kesinambungan agenda pembangunan di bawah Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0.

Aksyah mengakui wujud rasa tidak puas hati dalam kalangan penyokong GRS, khususnya selepas serangan politik sepanjang kempen PRU DUN Sabah ke-17 — termasuk datang daripada BN sendiri.

Namun, katanya, mandat rakyat memerlukan GRS untuk terus memerintah dengan stabil. “Syukur pada Allah. Kemenangan ini adalah doa rakyat. Sekarang masa bekerja, bukan masa mengungkit,” katanya.

Beliau turut mempertahankan keputusan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, membuka pintu kepada BN untuk kembali ke pentadbiran negeri.

Menurutnya, BN tidak menuntut lebih daripada yang wajar, dan apa yang lebih penting adalah memastikan kerajaan kekal stabil. “Yang penting, Sabah stabil,” katanya.

Aksyah turut mengingatkan bahawa dendam politik hanya akan menghalang kemajuan, dengan mengaitkan kemajuan Jepun pasca Perang Dunia Kedua yang bangkit kerana tidak terperangkap dalam dendam silam.

“Kalau Jepun terus berdendam, mereka tidak akan maju. Sabah juga tidak boleh dijadikan medan balas dendam politik,” tegasnya.

Beliau berkata, lima tahun pentadbiran GRS menjadi asas rakyat memberi mandat baharu kepada gabungan itu.

Aksyah turut menyifatkan Hajiji sebagai pemimpin berjiwa besar yang sanggup mengetepikan perasaan peribadi demi kestabilan. “Jangan kerana nyamuk seekor, rumah dibakar,” katanya.

Aksyah menutup kenyataannya dengan menyeru akar umbi GRS supaya menghentikan perpecahan dalaman dan mempertahankan gabungan itu.

“Ayuh kita bantu beliau. Jangan kerana marah perkara kecil, perjuangan kita musnah. Rumah kita adalah Sabah,” katanya.