KUALA LUMPUR: UMNO memutuskan untuk menolak bekerjasama dengan BERSATU kerana mahu mengelak kemudaratan yang besar, selain ia tidak selaras dengan agenda penyatuan ummah.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pendirian menolak BERSATU itu bukan diputuskan secara individu, sebaliknya dicapai secara bersama dengan pimpinan dan akar umbi parti.
Beliau berkata, jalinan kerjasama dengan BERSATU juga tidak rasional memandangkan parti itu diwujudkan dengan matlamat untuk menamatkan UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Apakah rasional UMNO diasak dan didesak supaya bersama musuh dalam selimut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk, menolak naratif UMNO sebagai pemecah belah ummah hanya kerana menolak kerjasama dengan BERSATU.
Sebaliknya, beliau mendakwa usaha memecah belah bermula dengan kewujudan parti politik serpihan, bermula dengan PKR, BERSATU, AMANAH dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), yang didakwa berpunca daripada krisis tamakkan kuasa.
“Pimpinannya malah pernah bersekongkol dengan DAP yang mereka sendiri labelkan tidak selari dengan Melayu.
“UMNO pula tetap UMNO bersama BN membentuk sebuah gabungan rakyat berbilang bangsa, kaum dan agama, serta tidak pernah memecahbelahkan kesatuan ummah, tidak pernah pernah merobek penyatuan bangsa Malaysia,” katanya.
Ahmad Zahid berkata, formula BN menerusi kerjasama antara UMNO, MCA, MIC, Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan ‘Friends of BN’, adalah asas kukuh dalam memupuk kestabilan serta kemakmuran Malaysia selama ini.
“Justeru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), pengundi harus berani menilai erti kestabilan dan kemakmuran dalam menetapkan pilihan.
“Usah terkhilaf membuat penentuan kerana penyatuan ummah dan rakyat Malaysia kini terletak di tangan anda,” katanya.