Peningkatan mendadak pengundi di Parlimen Keningau sangat merisaukan – Dr. Jeffrey

KOTA KINABALU: Peningkatan secara mendadak pengundi di Parlimen Keningau sehingga 70.7 peratus  dalam tempoh kurang dari lima tahun adalah sangat merisaukan.

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, peningkatan ini adalah sesuatu yang luar biasa dilihat meragukan serta merisaukan.

Katanya, beliau merujuk kepada pendedahan dalam sebuah akhbar tempatan menunjukkan jumlah pengundi pada tahun 2018 adalah seramai 51,777 meningkat secara mendadak kepada 87,371 pada 2022.

“Ini sesuatu yang luar biasa dan juga meragukan, selain merisaukan.

“Adalah mustahil kita boleh mencapai peningkatan lebih 30,000 dalam tempoh kurang dari lima tahun. Macam ada yang tidak betul,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Jeffrey berkata, beliau dimaklumkan bahawa jumlah Undi18 bagi Parlimen Keningau adalah kurang daripada 8,000. 

Akhbar tempatan tersebut melaoorkan daftar pemilih yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan peningkatan pengundi baharu sebanyak 53.9 peratus di Sabah, iaitu daripada 1,064,686 pada 2018 kepada 1,638,806 tahun ini.

Peningkatan luar biasa tersebut juga menyebabkan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee mengesyaki ianya disebabkan oleh terdapatnya jumlah besar pengundi yang dihasilkan melalui ‘Projek IC’.

Yong dalam kenyataannya terdahulu berkata, berdasarkan kepada kajian awal daftar pemilih tahun 2022, kebanyakan pengundi baharu tersebut berumur antara 30an ke 60an.

Beliau berkata, adalah amat menghairankan bagaimana terdapat jumlah pengundi yang sudah berumur yang sedemikian besar.  

Yong meminta audit forensik dan siasatan dilakukan terhadap daftar pemilih itu.

Dr. Jeffrey yang berkongsi kerisauan Yong turut menuntut agar pihak berkuasa melakukan siasatan dengan segera. 

“Pengundi Sabah juga amat terkejut dengan pendedahan ini. Mereka menuntut jawapan daripada pihak berkuasa dan tindakan segera mesti diambil,” katanya.