KOTA KINABALU: Rakyat Sabah dan Sarawak layak ke jawatan Perdana Menteri (PM) bukan hanya sekadar Timbalan Perdana Menteri (TPM) seperti diumumkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.
Ketua Penerangan Parti WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman berkata, sebelum ini Presiden WARISAN Datuk Seri Mohd Shafie Afdal pernah ditawarkan jawatan TPM tapi beliau tolak berikutan jawatan bukan keutamaan tetapi tuntutan terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah menjadi keutamaan.
Katanya, adakah ini bermakna Sabah dan Sarawak tidak boleh atau tidak layak menjadi PM Malaysia pada masa depan.
“Timbul juga persoalkan adakah bermaksud jawatan PM hanya dikhaskan untuk orang Malaya sekali gus cara ini cuba memperkecilkan keupayaan pemimpin di Sabah dan Sarawak.
“Apakah maksudnya Sabah dan Sarawak serta Malaya adalah rakan kongsi yang sama walaupun PM hanya untuk Malaya? Orang Sabah dan Sarawak bukannya bodoh.
“Kami tidak mahu pilihan raya yang semata-semata janji dan janji tetapi tiada kemajuan yang besar apabila ia tidak berkaitan tentang hak kami di Sabah dan Sarawak tidak dapat ditunaikan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mohd Azis berkata, apa yang dikehendaki oleh rakyat Sabah dan Sarawak adalah apa sahaja dipersetujui semasa perjanjian pembentukan Malaysia oleh nenek moyang mereka mesti dipenuhi dengan kadar segera.
“Tiada penangguhan lagi…Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bersumpah dengan nama Allah SWT ketika dalam siri kempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kimanis..
“Kita tanya apakah yang terjadi dengan janji itu….Adakah ia sudah ditunaikan atau ingin lagi berjanji pada PRU15 ini,” katanya.
Menurutnya, Lim Guan Eng juga pernah berjanji sebelum PRU14 jika menang Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebanyak 20 peratus royalti petroleum dan 40 peratus kutipan cukai akan kekal milik Sabah.
“Dalam janji itu kesemua ini akan dilaksanakan sekiranya PH dapat mengambil alih kerajaan persekutuan namun apabila beliau menjadi Menteri Kewangan Guan Eng sekali
lagi mungkir janjinya kepada Sabah,” katanya.