Barisan Nasional-GRS, jangan saling sabotaj calon

KIMANIS: Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempunyai formula tersendiri yang dipersetujui kedua-dua gabungan parti itu, untuk mengelakkan sebarang pertembungan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November ini.

Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berkata formula itu hanya akan diumumkan sendiri oleh Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau turut memberi jaminan, tidak akan berlaku pertembungan kerusi Parlimen antara kedua-dua parti pada pilihan raya berkenaan.

“Di mana BN bertanding, GRS tidak akan bertanding. Kita ada formula dipersetujui dan telah dicapai tetapi ia akan diumumkan sendiri oleh Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Datuk Seri Hajiji Noor,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Gelombang Biru BN Zon 3 Sabah melibatkan Kimanis, Papar, Beaufort, Sipitang di sini, semalam.

“GRS jangan sabotaj calon BN, BN jangan sabotaj calon GRS. Kita bekerja sebagai adik beradik untuk mengekalkan kestabilan di Sabah,” katanya.

Ahmad Zahid berkata solidariti antara BN-GRS menjadi  elemen penting bagi meraih kemenangan pada PRU15, selain beliau juga berharap jalinan kerjasama gabungan parti itu, akan membawa kestabilan dan kemakmuran untuk Sabah serta rakyatnya pada masa akan datang.