PRU15: Perkhidmatan Dr Maximus masih diperlukan di Kota Marudu – Hajiji

KOTA MARUDU: Kepimpinan Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili masih sangat diperlukan terutama dalam menyuarakan keperluan Sabah di peringkat Persekutuan

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, berkata Dr Maximus merupakan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) dan calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk Kota Marudu, konsisten dan lantang dalam memperjuangkan hak Sabah.

“Saya memerlukan Dr. Maximus untuk membantu menyuarakan tuntutan Sabah kepada Kerajaan Persekutuan.

“Suaranya yang lantang dan kegigihannya masih sangat diperlukan, khususnya dalam menuntut hak-hak kita dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya di sini hari ini.

Hajiji menyifatkan keputusan PBS menggunakan simbol GRS kali ini sebagai satu pengorbanan yang besar.

“Ini amat bermakna bagi saya… Sebab itu saya mahu rakyat di Kota Marudu mengundi Dr. Maximus,” katanya.

“Kerajaan Negeri pimpinan WARISAN hanya bertahan dua tahun kerana ia adalah kerajaan yang tidak mendapat restu daripada rakyat,” katanya.

Hajiji membidas Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang menurutnya gagal berbuat apa-apa untuk Kota Marudu sepanjang dua tahun menjadi Ketua Menteri dan sebelum itu ketika menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar Persekutuan.

“Beliau (Mohd. Shafie) bercakap seperti tahu segala-galanya tetapi apa yang telah dia lakukan untuk Kota Marudu semasa menjadi Ketua Menteri? Tandas awam pun tiada,” katanya.

“Beliau tanya saya apa yang saya dah buat? Saya nak tanya beliau balik apa yang dia dah buat di Semporna? Beliau tidak mampu menangani rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Bangau-Bangau, Semporna.

“Hanya (apabila) Kerajaan GRS-BN (mengambil alih) RM8.5 juta diberikan untuk menyelesaikan masalah itu,” katanya.

“Jangan bercakap bohong. Saya tidak tahu bagaimana untuk bercakap seperti itu. Saya hanya bercakap mengenai fakta,” katanya.