PRU15: PAS tidak letak calon bertanding di Sabah – Dr Aliakbar

KOTA KINABALU: PAS Sabah membuat keputusan tidak meletakkan calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di negeri ini.

Setiausaha PAS Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, berkata perkara itu sudah diputuskan pada mesyuarat khas Perhubungan PAS Negeri Sabah (PPNS), malam ini.

Katanya, PAS Sabah membuat keputusan untuk menyokong semua calon mewakili parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN).

“Hasil perbincangan malam tadi bersama  kepemimpinan utama PAS Pusat sekali gus dipersetujui dalam mesyuarat khas PPNS pada malam ini, PAS Sabah mengambil beberapa keputusan penting.

“Pertama, PAS Sabah tidak meletakkan calon untuk bertanding pada PRU15 di Sabah. Kedua, semua ahli dan penyokong PAS diarahkan membantu serta mengundi semua calon yang mewakili parti GRS-BN sebagai tanda mendokong prinsip penyatuan nasional yang digagaskan oleh PAS,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Aliakbar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah Dilantik, berkata PAS akan menyelaras jentera bagi membantu secara menyeluruh GRS-BN di peringkat negeri dan kawasan.

PAS bagaimanapun tidak dimasukkan sebagai komponen GRS, namun dianggap parti mesra kerajaan negeri di bawah GRS-BN pimpinan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.