PRU15: GRS-BN terbukti tingkatkan ekonomi Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Barisan Nasional (BN) yakin  dapat membangkitkan sekali gus membawa Sabah keluar daripada trend kemerosotan ekonomi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ada pihak cuba menghasut rakyat dengan melaungkan slogan ‘Sabah Bangkit’ kononnya mereka berjaya mengurus tadbir kewangan dengan baik ketika memerintah dahulu.

Katanya, sebagai rekod GRS-BN  berupaya meningkatkan kadar pelaburan melebihi RM12 bilion melibatkan 46 syarikat sejak mengambil alih Kerajaan Negeri dua tahun lalu. 

“Pelabur mula yakin fan datang membawa modal untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak kita di Sabah.

“Amanah yang digalas hari ini adalah mandat rakyat melalui muafakat GRS-BN sekali gus perlu diteruskan menang dalam PRU15 nanti,” katanya di sini semalam.

Hajiji yang juga merupakan Pengerusi GRS berkata, mandat ini hadir bersama 1001 aspirasi dan harapan besar rakyat kepada Kerajaan GRS-BN. 

“Kita bukan hanya perlu menyelesaikan isu-isu rakyat yang kita warisi sejak sekian lama, tetapi kita juga perlu membawa negeri ini melangkah ke hadapan untuk membina Sabah yang lebih maju dan berjaya,” katanya.