KOTA KINABALU: Projek tebatan banjir di Sungai Sugud, Penampang dijangka mampu mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan.
Menteri Pertanian dan Perikanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, ketika ini projek tersebut boleh dilaksanakan memandangkan semua keperluan projek awal sudah memenuhi syarat ditetapkan.
Katanya, projek melibatkan pengorekan serta pelebaran Sungai Sugud yang sempit itu diharap dapat membantu mengurangkan banjir di kampung berhampiran.
“Memandangkan sungai itu tidak mempunyai rizab sungai, projek itu perlu menuntut semula tanah berhampiran dan diwartakan sebelum projek itu boleh dimulakan.
“Sementara menunggu pewartaan, usaha dilakukan untuk mendapatkan kebenaran bertulis daripada pemilik tanah terlibat.
“Sekarang, setelah mendapat persetujuan, projek itu boleh dimulakan,” katanya.
Selain penambakan tanah, projek itu juga melibatkan penempatan semula utiliti Jabatan Air, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Telekom Malaysia (TM).
Mesyuarat penyelarasan telah diadakan antara kementerian dan agensi serta syarikat yang terlibat bagi memastikan kerja di tapak dapat dimulakan dengan segera.
Kontraktor telah diarahkan untuk memulakan kerja dan mesin dan peralatan yang diperlukan telah dihantar ke tapak.
“Bagaimanapun, mendalamkan Sungai Sugud bukanlah penyelesaian menyeluruh kepada masalah banjir di kawasan itu.
“Ini kerana alur keluar sungai iaitu Sungai Moyog juga memerlukan pengorekan dan pelebaran bagi menampung air banjir dari kawasan tadahan Sugud ketika hujan lebat.
“Namun, projek Sungai Sugud akan mempercepatkan aliran air banjir dan mengurangkan kedalaman air banjir di kawasan sekolah dan kampung sekitar,” katanya.
Dr. Jeffrey berkata, masalah banjir di kawasan Sugud tidak akan selesai sehingga Fasa 4 Projek Pembangunan Bersepadu Lembangan Sungai, Sungai Moyog siap.
“Pembiayaan untuk projek itu telah diluluskan melalui Belanjawan Luar, dan kerja akan dimulakan awal tahun depan,” katanya.