KOTA KINABALU: Projek Tanjung Aru Eco Development (TAED) yang disemak semula dan diperhalusi akan berteraskan rakyat dan menggabungkan ciri-ciri untuk menyediakan lebih banyak ruang dan akses awam.
Mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengarah TAED pertamanya di Menara Kinabalu di sini, Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor berkata pantai Tanjung Aru yang ikonik dan Prince Philip Park akan dikekalkan, ditambah baik dan diperindahkan supaya orang ramai dapat mengakses dan menikmatinya.
“Pembangunan baharu itu akan memastikan kemampanan dan mengambil kira inisiatif hijau,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Beliau berkata kerajaan negeri Sabah turut memutuskan bahawa tiada apa-apa kos yang ditanggung oleh kerajaan dan semua projek TAED bukan sahaja perlu berdaya maju dari segi kewangan, ekonomi dan sosial tetapi juga dibiayai sepenuhnya oleh pelabur yang dipersetujui kerajaan.
“Kita perlu ingat bahawa selain keuntungan dari segi kewangan, turut sama penting adalah pulangan ekonomi dan sosial.
“Ini termasuk jumlah pekerjaan dan peluang perniagaan yang akan diwujudkan oleh TAED dan sumbangannya kepada pembangunan sektor pelancongan,” katanya.
Hajiji berkata selepas mengambil alih pada September tahun lepas, kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah memutuskan bahawa projek TAED akan diteruskan selepas semakan semula untuk mengurangkan skala pembangunannya.
Sementara itu, Lembaga Pengarah TAED turut memutuskan untuk mengecualikan dua buah sekolah, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Aru I dan SK Tanjung Aru II daripada pembangunan tersebut.
Dalam Pelan Pembangunan Induk sebelum ini, dicadangkan sekolah tersebut dipindahkan ke Kampung Tanjung Aru yang akan melibatkan pengambilan tanah.
— BERNAMA