Abdul Azeez belum bebas tuduhan rasuah, pengubahan wang haram – SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim masih belum dibebaskan dan dilepaskan daripada tuduhan rasuah serta pengubahan wang haram.

SPRM berkata, dakwaan peguam bekas Pengerusi Tabung Haji itu yang analisis laporan kewangan SPRM sebelum ini membebaskan Abdul Azeez daripada tuduhan itu adalah hujahan dan belum diputuskan mahkamah.

“Laporan media yang memetik kenyataan peguam Amer Hamzah Arshad, seolah-olah menggambarkan Abdul Azeez sudah bebas daripada kesemua pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram sedangkan mahkamah belum membuat keputusan.

“Kenyataan itu adalah hujahan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan membatalkan kesemua 13 tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Abdul Azeez, pada 12 Mac lalu.

“SPRM berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan yang masih dalam perbicaraan sebelum mahkamah mendengar hujah balasan pihak pendakwaan.

“Hujah balasan pihak pendakwaan terhadap penghujahan pasukan peguam bela Abdul Azeez akan dibuat pada 6 Oktober ini,” kata SPRM dalam kenyataan, laporan Berita Harian hari ini.

Mahkamah Rayuan di semalam diberitahu laporan analisis kewangan SPRM sebelum ini membebaskan Abdul Azeez daripada tuduhan membabitkan rasuah.

Dalam penghujahan, peguam bela Amer Hamzah memberitahu, di sebalik laporan itu, anak guamnya masih dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan projek jalan raya di Kedah dan Perak serta pengubahan wang haram.

Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 Mac lalu yang menolak permohonannya untuk membatalkan tiga tuduhan rasuah dan sepuluh tuduhan pengubahan wang haram.