KUALA LUMPUR: Projek Pembinaan dan menaik taraf Hospital Tawau adalah 69 peratus siap setakat 31 Januari tahun ini.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin
berkata, projek tersebut bermula pada 30 Mei 2017 dengan tarikh siap asal pada 25 Mei 2020, dan telah diberi lanjutan masa sehingga 8 April 2022.
“Namun begitu, kontraktor menghadapi masalah dalam melaksanakan projek apabila kemajuan pembinaan projek itu adalah 69 peratus setakat 31 Januari 2022 berbanding 96 peratus seperti yang dijadualkan.
“Justeru, JKR Malaysia sedang memantau pelaksanaan projek itu untuk mengambil tindakan selanjutnya,” kata Khairy dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Tawau, Datuk Christina Liew.
Beliau menjawab soalan Christina yang ingin mengetahui perkembangan kerja dan sama ada projek hospital tersebut akan disiapkan tahun ini kerana mengikut jadual ia sepatutnya siap Mei 2020 di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11, 2016-2020).
Projek pembinaan dan naik taraf itu melibatkan pembinaan bangunan hospital baharu yang dilengkapi enam dewan bedah, bilik endoskopi dan wad serta peralatan seperti imbasan CT dan MRI untuk bahagian kecemasan dan radiologi.
Sebuah helipad juga akan dibina, menurut laporan media 2016 yang memetik Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan ketika itu Datuk Dr Chen Chaw Min.
Projek (reka bentuk dan bina) yang diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri di bawah Rolling Plan 1 RMK-11, diumumkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2016.