KUALA LUMPUR: UMNO sedia mengerahkan jenteranya pada bila-bila masa untuk berdepan ‘sebarang kemungkinan’ yang dipercayai merujuk kepada pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dalam masa terdekat.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia berdasarkan semangat dan kebersamaan akar umbi serta pemimpin setiap peringkat ketika perasmian persidangan sayap UMNO semalam dan perjalanan persidangan setakat ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang keputusan parti berhubung pelaksanaan akan tetap mengambil kira dan menghormati peranan serta perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Perasmian persidangan sayap parti malam tadi dan persidangan sayap sepanjang hari ini menunjukkan sayap UMNO dan seluruh UMNO Bahagian didukung UMNO negeri memperlihatkan kesiapsiagaan bagi menggerakkan jentera untuk berdepan sebarang kemungkinan.
“Ketiga-tiga sayap parti menyebut mandat baharu rakyat hendaklah diperoleh dalam jeda waktu tertentu, atas nasihat Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memohon perkenan baginda.
“Sebagai ketua parti, ia satu perancangan politik, (namun) Perlembagaan dan kuasa Tuanku hendaklah dihormati. Tentunya suara akar umbi akan turut didengar.
“Kita mengharapkan mandat terbaru akan didukung disebabkan saat dan waktunya mungkin sesuai setelah beberapa aspek difikirkan secara mendalam,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat persidangan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Isu desakan pelaksanaan PRU-15 timbul selepas Barisan Nasional (BN) menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini apabila menguasai 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).