Program ‘Sentuhan Kasih’ UMNO Labuan hargai pengorbanan pemimpin UMNO terdahulu

LABUAN: Program Sentuhan Kasih yang diwujudkan oleh Sekretariat Veteran UMNO Labuan bukan sahaja bertujuan untuk menghargai pengorbanan dan jasa pemimpin UMNO terdahulu tetapi juga mengukuhkan hubungan erat antara pemimpin masa ini dengan yang lama.

Ketua Bahagian UMNO Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan berkata, Program Sentuhan Kasih yang baharu sahaja dilancarkan selepas tertubuh Sekretariat Veteran UMNO Bahagian Labuan baru- baru ini telah berjaya menyantuni beberapa keluarga veteran UMNO yang masih setia terhadap perjuangan dan prinsip UMNO.

“Program Sentuhan Kasih adalah salah satu pendekatan UMNO Bahagian Labuan bagi menghargai segala jasa dan pengorbanan mereka kepada parti, walaupun sebahagian sudah tidak aktif disebabkan faktor usia namun kesetiaan serta prinsip perjuangan mereka bersama parti tetap kami hargai,” katanya ketika menyantuni dua pemimpin veteran UMNO di kampung Gersik di sini, baru-baru ini.

Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menjelaskan, program Sentuhan Kasih merupakan platform terbaik untuk kepimpinan UMNO Labuan menjejaki dan mendekati pejuang pejuang lama yang dahalu telah berkorban dan berjuang memartabatkan parti UMNO dan orang Melayu.

Sementara itu, Mohd Rafi mahu kepimpinan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri dapat bersama sama turun padang membantu Sekretariat Veteran UMNO dalam menjejaki dan menyantuni para pejuang veteran UMNO sebagai rasa penghargaan terima kasih atas kesetian mereka kepada parti selama ini.

Hadir sama, Naib Ketua UMNO Bahagian Datuk Khalid Ab. Ghani, Pengerusi Sekretarian Veteran UMNO Bahagian Labuan Mohamad Abdullah @Abu Samah, Ketua Wanita UMNO Bahagian Niswati Tarji, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Saiful Pungot dan Ketua Puteri UMNO Bahagian, Normiyati Jumat.