SANDAKAN : Seorang pekerja lelaki tempatan disahkan maut susulan kes kejadian kebocoran gas Amonia di sebuah kilang memproses ais batu di Batu 3 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek berkata mangsa yang berumur 40 tahun itu dikatakan berada berhampiran paip yang bocor dan telah terdedah dengan gas Amonia.
Katanya, mangsa tidak sedarkan diri dan kemudian dibawa ke Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan, bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika tiba di hospital.
“Kita menerima maklumat mengenai kejadian mesin ais pecah dan berlaku kebocoran gas di Kilang Ais Sinaran Cube Sdn Bhd, Batu 3 di sini lebih kurang pukul 10.10 pagi tadi.
“Hasil siasatan awal, kita mendapati pada masa kejadian seorang mekanik dibantu oleh tujuh orang pekerja lain sedang membuat penyelenggaraan mesin pemotong ais.
“Semasa menjalankan kerja-kerja penyelengaraan sebatang paip, sistem penyejukan telah bocor dan menyebabkan gas Amonia dalam keseluruhan tiub sistem penyejukan menyembur keluar,” katanya di Sandakan.
Menurut beliau, ketika kejadian, seramai 18 orang pekerja berumur 21 hingga 55 tahun sedang bekerja di kilang berkenaan.
Jelasnya, seramai 17 orang pekerja kini sedang menerima rawatan di HDOK Sandakan.
“Pihak kami masih menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca sebenar kejadian. Siasatan kes melibatkan seorang mangsa tadi diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut,” katanya.