Program baharu Ijazah Sarjana Muda kejururawatan selari dengan halatuju SMJ: Kasim

KOTA KINABALU: Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor mengumumkan UMS telah mula menawarkan program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan bagi sesi 2022/2023.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Datuk Kasim berkata ijazah yang ditawarkan ini selari dengan slogan Sabah Maju Jaya (SMJ).

Katanya, UMS komited untuk menyumbang dalam pembangunan modal insan dengan pelaksanaan program itu yang diiktiraf dan bakal melahirkan graduan kejururawatan berkualiti dan kompeten untuk negeri Sabah.

“Program Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan yang ditawarkan ini bakal menyumbang kepada bilangan tenaga kerja profesional dalam kalangan generasi muda Sabah.

“Kekurangan tenaga kerja kejururawatan yang dialami oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) di negeri ini bakal dapat diatasi dengan adanya graduan dari program kejururawatan UMS,” katanya.

Kasim juga berharap pada masa hadapan, beban kerja dalam kalangan jururawat dapat diatasi dan sekali gus meningkatkan kualiti perawatan ke atas pesakit.

Tambahnya lagi, ini selaras dengan salah satu elemen pelan SMJ iaitu membangunkan modal insan dan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan(FPSK) UMS Profesor Dr. Mohammad Saffree Jeffree berkata, program kejururawatan di UMS bermula dengan penawaran program Diploma Kejururawatan pada tahun 2008.

Sehingga tahun ini, program Diploma Kejururawatan telah melahirkan lebih 500 graduan berkualiti serta diiktiraf dankesemua graduan ini telah memenuhi keperluan tenaga kerja kejururawatan tempatan, termasuk juga antarabangsa seperti di Singapura, Australia dan Timur Tengah.

Untuk merealisasikan pembangunan modal insan dalam kalangan rakyat Sabah, FPSK, UMS telah mengorak langkah ke hadapan dengan memperkenalkan program Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan.

Program ini telah mendapat kelulusan daripada badan profesional yang memantau tahap kualiti pendidikan kejururawatan iaitu Lembaga Jururawat Malaysia dan Agensi Kelayakan Malaysia sehingga ia dapat dilaksanakan pada tarikh yang bersejarah ini,” katanya.

Tambah Safree, berdasarkan kajian kebolehpasaran graduan program kejururawatan UMS, hampir 100 peratus telah berjaya mendapat pekerjaan di pelbagai sektor kerajaan dan swasta samaada dalam atau luar negeri.

Ini membuktikan profesion kejururawatan adalah sangat diperlukan tidak kira di mana sahaja.

“Saya menyarankan agar lebih ramai lepasan STPM, Matrikulasi dan diploma mengikuti program Ijazah Sarjana Muda Sains Kejururawatan di UMS dan berharap lebih ramai jururawat profesional yang berkualiti dilahirkan oleh universiti ini,” katanya.