Produk makanan halal Sabah berpotensi ke pasaran global – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mahu lebih ramai usahawan di Sabah menghasilkan produk makanan halal bukan hanya untuk pasaran tempatan, malah ke peringkat global.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Sabah memiliki pelbagai produk makanan yang boleh diketengahkan usahawan tempatan hingga ke peringkat lebih tinggi.

Beliau berkata, walaupun pembabitan usahawan termasuk perindustrian mikro kecil dan sederhana (PMKS) dalam industri makanan halal di negeri ini semakin bertambah, namun masih perlu terus dipergiatkan.

“Kita mahu melihat pembabitan lebih ramai usahawan dalam bidang produk makanan halal di Sabah.

“Usahawan baharu dan sedia ada juga perlu memanfaatkan sepenuhnya expo halal yang diadakan untuk meningkatkan dan meluaskan perniagaan mereka,” katanya pada Majlis Perasmian Expo Halal Sabah (SAHEX) dan Karnival Baurung-Urung di Sabah International Convention Centre (SICC), semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Datuk Seri Panglima Kadzim M Yahya.

Hajiji berkata, kerajaan mengambil perhatian mengenai pengurusan halal di negeri ini berikutan pasaran global industri halal dunia dijangkakan mencapai jumlah USD2.4 trilion pada 2024.

Katanya, keprihatinan kerajaan dizahirkan melalui penubuhan Majlis Halal Sabah (MAHAS) yang berperanan sebagai badan rasmi kerajaan dalam membincang, mengkaji dan membuat keputusan isu halal serta mencadang langkah baharu bagi membangun industri halal di negeri ini.

Beliau berkata, apa yang penting dalam pengurusan halal ialah semua pihak, jabatan dan agensi yang terlibat memberi tumpuan khusus terhadap usaha memperkasa aspek pensijilan halal khususnya PMKS.

“Ini penting agar PMKS juga mampu bersaing dan memiliki keupayaan dalam pasaran industri halal di negeri ini,” katanya.

Melalui usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri, beliau juga berharap Expo Halal Sabah yang diadakan akan memantapkan lagi kefahaman Pensijilan Halal Malaysia kepada pemain industri dan pengunjung expo.

“Expo ini juga dapat menjalin jaringan kerjasama pemain-pemain indusrti halal di dalam dan luar negara, di samping memperkenalkan produk-produk halal buatan tempatan di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata melalui Karnival Baurung-Urung yang menjadi budaya masyarakat Brunei, kerajaan negeri mengalu-alukan penganjuran karnival itu bagi memupuk muafakat dan sikap toleransi dalam masyarakat tanpa mengira bangsa, kaum dan agama di negeri ini.