HULU LANGAT: Kuat bekerja di lapangan dan bukan pemimpin bermusim menjadi faktor yang perlu diambil kira oleh pengundi untuk memilih calon Barisan Nasional (BN) Datuk Johan Abd Aziz di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua pada Pilihan Raya Negeri ini.
Ketua Bahagian UMNO Putatan Jeffery Nor Mohamed berkata Johan yang merupakan Ketua Bahagian UMNO Hulu Langat yang beliau kenali bukan pemimpin yang banyak bercakap tetapi lebih banyak bekerja.
Katanya lagi kesetiaan Johan kepada kepada parti tidak perlu dipertikaikan dan membantu orang melayu sama ada ketika berada di blok pembangkang atau kerajaan.
“Jadi mahu tidak mahu, pengundi di DUN Dusun Tua memilih calon yang setia dan kekal berjuang kepada parti dan orang melayu dan kuat bekerja dari banyak bercakap,” katanya ketika ditemui di Dusun Tua, hari ini.
DUN Dusun Tua menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Johan dengan Al Hafiz Ikhwan Mohamad Hasaan (MUDA) dan Azhar Hambali (Perikatan Nasional).
Pada Pilihan Raya Umum ke-14, kerusi DUN Dusun Tua dimenangi oleh Erdy Faizal Eddy Yusof dari DAP dengan majoriti undi 10,442 ketika menentang calon BN dan Pas.
Jeffery yang juga Pengarah Pilihan Raya UMNO Sabah berkata isu dibawa parti lawan bahawa Johan yang berasal dari Semenyih bukan calon tempatan di Dusun Tua juga tidak berasas dan bukan isu besar.
Ini kerana, katanya, Johan merupakan Ketua Bahagian UMNO Hulu Langat dengan DUN Semenyih dan Dusun Tua dibawa jagaan beliau dengan berada di lapangan ketika diperlukan rakyat termasuk ketika penduduk di kawasan Dusun Tua berhadapan musibah banjir besar.
“Memilih pemimpin adalah satu tanggungjawab besar dan pilihlah pemimpin yang berjiwa rakyat dan dapat membantu rakyat di semua peringkat termasuk golongan muda.
“Janganlah memilih pemimpin bermusim yang hanya muncul ketika Pilihan Raya dan selepas Pilihan Raya menghilang untuk berkhidmat kepada rakyat,” kata Jeffery.