PRN Sabah: PBS Kekal Bersama GRS Hadapi PRN17 – Joachim

PENAMPANG : Parti Bersatu Sabah (PBS) menegaskan akan kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN) sekali gus mengukuhkan komitmen parti itu terhadap kerjasama politik sedia ada.

Pemangku Presidennya, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (AMT) PBS diadakan di Ibu Pejabat PBS di sini, semalam.

“Pendirian kami jelas. PBS akan terus berkerjasama dalam gabungan GRS, kami komited dengan kerjasama politik ini menjelang PRN.

“PBS turut menegaskan komitmen untuk memperkukuh hubungan dan kerjasama bersama Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah), rakan komponen GRS yang diketuai Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan,” katanya.

Joachim berkata, beliau percaya bahawa perpaduan dalam kalangan parti berteraskan tempatan amat penting bagi menjamin kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan di Sabah. 

“Hubungan kita dengan StarSabah akan terus diperkukuhkan. Majoriti ahli AMT tidak bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan Umno atau Barisan Nasional (BN),” jelas Joachim.

Menurutnya, mesyuarat tersebut  dihadiri Penasihat Utamanya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan sekali gus memberikan pandangan strategik terhadap hala tuju masa depan parti.

“Pairin juga berkongsi pandangan bernas semasa mesyuarat Biro Politik. 

“Panduan beliau mengenai hala tuju PBS kekal penting buat kepimpinan parti,” katanya.

Joachim berkata, AMT turut membincangkan tahap kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya serta usaha berterusan di peringkat akar umbi untuk mengukuhkan sokongan terhadap PBS menjelang PRN.

“Kita menegaskan komitmen PBS dalam memperjuangkan kepentingan rakyat tempatan, hak-hak pribumi, serta memastikan suara Sabah terus didengari di peringkat nasional melalui pendekatan politik yang konstruktif.

“Semua ahli parti juga digesa agar kekal bersatu dan terus komited terhadap perjuangan parti serta bersiap sedia sepenuhnya menghadapi pertarungan pilihan raya akan datang dengan keyakinan dan semangat jitu,” katanya.