GRS Perlu Teruskan Haluan Sendiri Bersama PH Plus- Aksyah

KOTA KINABALU : Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi isyarat membuka ruang kerjasama kepada mana-mana parti, sebagai sesuatu yang perlu diteliti dengan mendalam oleh Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Menurut aktivis masyarakat dan pemerhati politik tempatan, Aksyah Nasrah, walaupun gesaan itu disandarkan kepada syarat utama iaitu keikhlasan, sejarah dan rekod lampau wajar dijadikan asas pertimbangan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Saya bersetuju dengan syarat keikhlasan tersebut. Saya percaya GRS juga menjadikan keikhlasan sebagai asas utama dalam mana-mana bentuk kerjasama.

“Namun, keikhlasan itu harus bersandar kepada kejujuran dan keyakinan semua pihak,” katanya dalam posting di Facebook  hari ini.

Aksyah berkata, pengalaman lalu khususnya insiden Langkah Kinabalu menjadi titik hitam yang masih membekas dalam ingatan rakyat Sabah, apabila berlaku ketidaktentuan politik dan keretakan kepercayaan antara parti.

“Langkah Kinabalu telah menjadi kayu ukur utama dalam menilai sejauh mana keikhlasan sesebuah kerjasama politik itu dapat bertahan.

“Ia bukan sekadar episod politik, tetapi simbol kegagalan kepercayaan,” katanya.

Menurutnya, GRS lebih wajar kekal membawa haluan sendiri bersama rakan kerjasama semasa iaitu PH Plus, yang telah terbukti mampu mewujudkan kestabilan politik dan memacu pembangunan negeri secara mampan.

“Pemerhatian saya di peringkat akar umbi menunjukkan rakyat lebih cenderung kepada gabungan GRS-PH Plus yang tidak terikat dengan persepsi negatif atau keraguan. Ini adalah laluan politik yang lebih jelas dan konsisten,” katanya.

Aksyah juga menyifatkan PH Plus sebagai blok politik yang bukan sahaja menyelamatkan kerajaan negeri pasca krisis politik, malah turut mengiktiraf GRS sebagai parti tempatan yang wajar menjadi teras pentadbiran negeri.

“Kejayaan kerjasama ini terbukti menerusi kestabilan yang dinikmati hari ini dan pelaksanaan dasar-dasar utama Kerajaan Negeri yang terkandung dalam Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.