KOTA KINABALU : Kerjasama antara Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Negeri (UPPM) dilihat mampu memastikan bekalan elektrik dapat disalurkan ke seluruh negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, usaha ini merupakan inisiatif kerajaan negeri untuk memastikan rakyat di kawasan pedalaman mendapat bekalan elektrik.
Katanya, kerjasama ini juga selaras dengan peranan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.
“PPM memainkan peranan penting dan memikul tanggungjawab besar yang dilaksanakan dengan penuh dedikasi dan rasa tanggungjawab.
“Di bawah MoU selama setahun ini, Sabah Electricity dan UPPM Sabah akan bekerjasama dalam meningkatkan sambungan bekalan elektrik,” katanya di sini hari ini.
Hajiji berkata, ini membangunkan infrastruktur tenaga mampan serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai perkhidmatan dan fungsi Sabah Electricity, termasuk penggunaan tenaga yang efisien.
“Projek di bawah kerjasama ini juga akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Secara keseluruhannya, kerjasama strategik antara Sabah Electricity dan UPPM Sabah ini akan menjadi titik fokus kepada semua perkara berkaitan perkhidmatan Sabah Electricity,” jelas Hajiji.
MoU tersebut ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohd Yaakob Jaafar bagi pihak Sabah Electricity, manakala UPPM Sabah diwakili Pengarahnya Datuk Awang Kadin Tang.