PRN Sabah: Belum Ada Tarikh Bubar DUN Sabah – Hajiji

KOTA KINABALU : Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, berkata beliau belum menetapkan sebarang tarikh untuk pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berikutan spekulasi mengenai perkara itu yang dijangka pada akhir Julai atau awal Ogos depan.

Beliau bagaimanapun memberi bayangan akan membuat pengumuman mengenai perkara itu selepas Perhimpunan Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) pada akhir bulan depan.

Belum lagi, kita mesyuarat dulu perhimpunan agung pada hujung Julai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Sulaman di Dewan Seri Sulaman Tuaran, Tuaran, hari ini.

Beliau yang juga Presiden Gagasan Rakyat dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Sulaman diminta mengulas mengenai kemungkinan DUN dibubarkan pada akhir Julai depan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan gabungan parti pemerintah pimpinannya itu bersedia menghadapi sesiapa saja pada PRN17 nanti.

Katanya, ia adalah pendirian GRS, namun sebarang keputusan mengenai bentuk kerjasama politik bagi menghadapi pilihan raya mesti diputuskan Ahli Majlis Tertinggi (AMT) gabungan parti tempatan itu.

“GRS bersedia untuk menghadapi sesiapa saja dalam pilihan raya umum akan datang. Jadi itu pendirian kita tetapi apapun bentuk kerjasama mesti diputuskan oleh Ahli Majlis Tertinggi GRS,” katanya.

Beliau turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali yang bersetuju GRS bertembung dengan Barisan Nasional (BN) pada PRN17.

“Saya sokong pendapat dia, tetapi apapun kita belum buat keputusan muktamad. Ini bukan daripada saya, daripada parti BN yang menyatakan mereka tidak berminat.

“Kita jangan paksa orang kalau tidak berminat,” katanya.

Semalam, Armizan berkata beliau secara peribadi bersetuju dengan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin untuk membiarkan GRS dan BN bertembung pada pilihan raya itu nanti.

Sementara itu, Hajiji berkata Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat pada kali ini penting kerana ia diadakan menjelang PRN17 yang bakal diadakan tidak lama lagi.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Hajiji mengingatkan pemimpin dan ahli Gagasan Rakyat supaya mengambil iktibar keadaan politik semasa dan menangkis pembohongan disebarkan pembangkang melalui media sosial.

Mengenai kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman yang disandangnya sejak 1990, beliau yakin kerusi itu dapat terus dipertahankan di bawah GRS pada PRN17.

Beliau juga mahu tiga kerusi lain dalam Parlimen Tuaran, iaitu Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu juga kekal dipertahankan di bawah GRS.