SANDAKAN : Sebuah syarikat perniagaan di hospital sini berdepan tindakan kompaun akibat gagal meletakkan tanda harga ke atas 30 unit makanan ringan pelbagai perisa yang dipamerkan untuk jualan di premis.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Sandakan, Azdy Zukkry John berkata kes telah dibuka mengikut Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 dan kesemua makanan ringan yang tidak diletakkan tanda harga itu telah disita untuk tindakan siasatan selanjutnya.
Menurut beliau, pihaknya telah menerima aduan netizen di media sosial baru-baru ini mengenai harga barangan serta kemudahan mengecas alat komunikasi yang tidak munasabah disediakan untuk pelanggan di premis itu.
Katanya, premis tersebut merupakan salah sebuah kedai yang terletak dalam hospital awam di daerah ini.
“Susulan itu, sepasukan Pegawai Penguatkuasa KPDN Cawangan Sandakan yang diketuai sendiri oleh beliau telah menjalankan pemeriksaan di kedai yang diadukan itu, semalam.
“Hasil pemeriksaan mendapati pemilik kedai telah gagal meletakkan tanda harga ke atas 30 unit makanan ringan pelbagai perisa yang dipamerkan untuk jualan di premis perniagaannya,” katanya di sini, hari ini
Beliau berkata, individu yang melakukan kesalahan gagal meletakkan tanda harga atau senarai harga ke atas barangan yang dijual boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM25,000.
Katanya bagi syarikat yang melakukan kesalahan tersebut boleh didenda sehingga RM100,000 atau dikompaun sehingga RM50,000.
Azdy Zukkry berkata KPDN Cawangan Sandakan juga menasihatkan pemilik perniagaan yang diadukan supaya memberikan makluman atau notis yang jelas di tempat yang mudah dilihat oleh pengguna berhubung dengan kemudahan serta kadar bayaran mengecas alat komunikasi yang disediakan di kedai.
Dalam pada itu, KPDN Cawangan Sandakan sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat dan aduan berkaitan salah laku peniaga.
Pengguna boleh menyalurkan aduan menerusi saluran-saluran rasmi aduan termasuk Whatsapp (019-2794317- 019-8488000); Portal Aduan: http://eaduan.kpdn.gov.my; Call Centre 1-800-886-800; Emel: e-aduan@kpdn.gov.my; Aplikasi Ez ADU KPDN; Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command (Enforcement Command Centre) : 03-8882 6088/6245 atau menghantar surat rasmi ke Pejabat KPDN yang berdekatan.