KOTA KINABALU (Bernama): Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) yang memulakan operasi sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) hari ini akan melaksanakan 200 vaksinasi sehari, kata Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin.
Beliau berkata setakat ini kadar pemvaksinan PPV HUMS yang beroperasi dari Isnin hingga Jumaat itu tidak tinggi berbanding PPV lain namun mereka bersedia untuk menambah bilangan dos bergantung kepada keperluan semasa.
“Ini merupakan antara usaha hospital dalam membantu memerangi COVID-19. Penyaluran kepakaran kepada usaha ini juga saya percaya dapat memanfaatkan langkah meningkatkan kemahiran diri dan kemandirian warga UMS itu sendiri,” katanya kepada pemberita selepas meninjau PPV HUMS di sini hari ini.
Beliau berkata PPV berkenaan kini masih dalam fasa percubaan dan keutamaan akan diberi kepada warga UMS terutama pelajar agar imuniti kelompok di dalam kampus berkenaan boleh dicapai secepat mungkin.
UMS juga, katanya, berharap kerajaan memperuntukkan lebih banyak bekalan vaksin kepada PPV HUMS bagi membolehkan mereka melaksanakan pemvaksinan lebih meluas, bukan sahaja kepada warganya tetapi juga penduduk yang tinggal berdekatan kampus, khususnya kawasan Sepanggar.
SabahNewsToday