Polis Kinabatangan cari seorang pesakit COVID-19 dipercayai melarikan diri

KINABATANGAN (Bernama): Polis bersama petugas kesihatan di sini sedang mengesan seorang pesakit COVID-19 warga emas yang dipercayai melarikan diri ketika dalam proses untuk dibawa menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt Dzulbaharin Ismail berkata pesakit lelaki berumur 69 tahun itu didapati tiada di rumah, dengan pintu rumahnya didapati berkunci dan tidak berpenghuni ketika sepasukan petugas kesihatan dari Klinik Kesihatan Tongod datang untuk menjemputnya kira-kira pukul 12 tengah hari,

Sebelum itu katanya, lelaki berkenaan didapati sedang mengemas barang-barangnya ketika petugas kesihatan itu lalu di hadapan rumahnya pada kira-kira 11 pagi untuk melawat pesakit COVID-19 lain di daerah terbabit dan beranggapan dia sedang bersiap-siap untuk dibawa ke hospital.

“Bagaimanapun, semasa pasukan tersebut kembali semula ke rumah suspek, didapati rumahnya telah berkunci dan tidak berpenghuni.

“Pasukan Klinik Kesihatan Tongod kemudian telah balik ke klinik dan menunggu suspek tiba. Namun sehingga laporan polis dibuat, kedudukan suspek masih tidak diketahui dan dikhuatiri akan menjangkiti orang awam sekiranya suspek terus melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulbaharin berkata pihak polis memohon kerjasama orang awam yang mempunyai maklumat mengenai pesakit COVID-19 yang enggan menerima rawatan atau melarikan diri itu agar menghubungi Pusat Kawalan Daerah Kinabatangan di talian 089-561890.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa memberikan kerjasama dan mematuhi segala arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa agar sama-sama dapat membendung penularan wabak COVID-19 di negara ini,” katanya.

Sabahnewstoday

Leave a Reply