MARAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Mohd Azis Jamman disiasat berhubung ucapannya pada persidangan Parlimen awal bulan ini.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mazlan Lazim yang mengesahkan perkara itu berkata ia merupakan siasatan biasa selepas pihaknya menerima laporan membabitkan Mohd Azis.
“Kita terima laporan, jadi kita jalankan siasatan, selepas itu kita akan rujuk AGC (Jabatan Peguam Negara). Ini baru siasatan dan bukan ambil tindakan lagi,” katanya ketika mengulas mengenai tindakan polis yang mengambil keterangan Mohd Azis.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran di sini hari ini, dan yang turut hadir ialah Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf, timbalannya Datuk Mohd Yusri Hassan Basri dan Ketua Polis Daerah Maran DSP Norzamri Abd Rahman.
Selasa lepas Mohd Azis pada sidang media di bangunan Parlimen berkata beliau diminta memberikan keterangan kira-kira sejam selepas membangkitkan mengenai isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pengagihan peruntukan kerajaan terhadap Sabah pada perbahasan Bajet 2022 dua minggu lepas.
– BERNAMA