Kota Kinabalu: Tujuh kontraktor diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas bot besi dinaiki mereka karam di perairan Kimanis, di sini, hari ini.
Harian Metro hari ini melaporkan kejadian berlaku pada 12.06 tengah hari selepas salah seorang mangsa membuat panggilan kecemasan ke talian MERS 999 untuk meminta bantuan.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, mangsa memaklumkan bot besi karam sepenuhnya manakala sebuah lagi bersama tujuh penumpang hampir karam.
Beliau berkata, sebaik maklumat diterima daripada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC), operasi CARILAMAT terus diaktifkan.
“Kapal Maritim (KM) Ikhlas dan bot Pengawal 39 diarahkan bergerak ke lokasi kejadian untuk menjalankan operasi menyelamat.
“Sebaik tiba di lokasi pada 1.42 tengah hari, semua mangsa ditemui sedang berdiri di atas bot hampir tenggelam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mohd Rosli berkata, siasatan awal mendapati, semua mangsa adalah kontraktor bagi kerja pemasangan di perairan Kimanis.
Katanya, semua mangsa yang diselamatkan kemudiannya dibawa ke Jeti Maritim, Sepanggar untuk tindakan selanjutnya.