LAHAD DATU: Polis Daerah Lahad Datu mengeluarkan 20 saman trafik dan menyita lima kenderaan dalam Operasi Motosikal Samseng Jalanan yang dijalankan di beberapa lokasi tumpuan sekitar bandar ini, awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, polis memandang serius aktiviti samseng jalanan kerana ia mengancam keselamatan pengguna jalan raya dan ketenteraman awam.
“Operasi itu melibatkan 12 pegawai dan anggota dari pelbagai bahagian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu dan dijalankan di sekitar Bandar Lahad Datu, Bandar Fajar, Jalan Airport, Bandar Sri Perdana serta Jalan Pan Borneo,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, operasi yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Lahad Datu, Insp Mohd Riduan Abdullah @ Mustaffa berlangsung dari jam 12 tengah malam hingga 4 pagi.
“Hasil operasi, polis mengeluarkan 20 saman atas pelbagai kesalahan termasuk memandu tanpa lesen, lesen kenderaan tamat tempoh, tiada perlindungan insurans, tiada cermin sisi serta pengubahsuaian ekzos dan struktur kenderaan,” katanya.
Polis turut menyita sebuah kereta dan empat motosikal mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Dalam operasi sama, seramai 18 individu dan 14 kenderaan diperiksa, manakala empat sesi advokasi keselamatan jalan raya turut dijalankan bagi meningkatkan kesedaran pengguna.
ACP Dzulbaharin menyeru orang ramai supaya terus mematuhi undang-undang jalan raya dan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan kepada pihak polis.
