PUTATAN: Nilai perpaduan tanpa mengira bangsa dan agama perlu terus dipelihara bagi memastikan pembangunan sosioekonomi kekal menjadi keutamaan di Sabah, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya berkata, kesinambungan pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang menekankan keharmonian masyarakat berbilang kaum wajar dijadikan asas kepada persefahaman rakyat.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif kerajaan yang dilaksanakan ketika ini bersifat inklusif dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Usaha mengekalkan perpaduan bukan sesuatu yang mudah, namun saya yakin kepimpinan sedia ada menunjukkan komitmen untuk memastikan kesejahteraan rakyat dapat dipelihara merentasi kepelbagaian kaum dan agama di Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri program penyerahan bakul makanan sempena sambutan Hari Natal 2025 di Tanjung Keramat, hari ini.
Dalam pada itu, Shah Alfie turut menggesa masyarakat setempat agar terus bekerjasama dengan kerajaan dan pihak berkuasa bagi memastikan pembangunan di kawasan tersebut dapat dipertingkatkan secara berterusan.
