PN, Bersatu sah bertanding dalam PRN Sabah – Muhyiddin

KOTA KINABALU : Perikatan Nasional (PN), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bersedia sertai perebutan kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun belum memutuskan jumlah kerusi yang bakal ditandingi pihaknya, beliau bagaimanapun mengesahkan penyertaan berkenaan.

Beliau merupakan Presiden BERSATU pada masa sama turut mendedahkan kesemua intipatinya akan dimaklumkan sebelum menjelang pilihan raya negeri nanti.

“Semalam pun kita ada sesi tertutup, saya tidak perlu ceritakan, Ketua-Ketua Bahagian, Armada dan Srikandi hadir jadi pastinya topik utama menghadapi pilihan raya Sabah.

“Tentang PRN bila, kita tidak tahu lagi jadi saya tidak akan beri secara terperinci sekarang jumlah kerusi itu terlalu awal kita tetapkan tapi yang pasti bila PRN Sabah akan datang, Bersatu Sabah, PN sabah akan menyertai pilihan raya,” katanya dalam sidang media selepas Konvensyen Bersatu Sabah di Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Bersatu Sabah, Datuk Seri Ronald Kiandee.

Muhyiddin berkata, pihaknya percaya muka-muka baharu termasuklah Ketua-Ketua Bahagian serta barisan pimpinan lain berpotensi ditampilkan pada PRN Sabah akan datang.

“Perjuangan Bersatu di negeri ini tidak akan bernoktah meskipun menerima ‘sejarah hitam’ di Sabah dengan pihaknya turut bersedia mara ke hadapan bagi mendepani rakyat jelata,” jelas Muhyiddin.