KOTA KINABALU: Gambar tular memaparkan plat kenderaan Isteri Perdana Menteri bukan atas permintaan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Setiausaha Kerajaan Sabah Datuk Seri Safar Untong berkata, adalah menjadi amalan kerajaan negeri menyediakan kenderaan itu kepada tetamu kenamaan (VIP) semasa lawatan kerja dan lawatan rasmi ke Sabah.
Katanya, kemudahan kenderaan disediakan termasuk meletak plat kenderaan atas nama gelaran jawatan tetamu dan isteri yang menggunakan kenderaan itu.
“Saya mengambil perhatian hari ini gambar plat kenderaan isteri perdana menteri yang diambil di sebuah hotel terkemuka di Kota Kinabalu tular di media sosial.
“Menjadi amalan kerajaan negeri bertanggungjawab menyediakan kemudahan kenderaan bagi perdana menteri dan isteri, timbalan-timbalan perdana menteri dan isteri serta tetamu VIP ke Sabah semasa lawatan kerja dan lawatan rasmi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Safar berkata, plat yang ditularkan bukan atas permintaan Dr Wan Azizah.
Terdahulu, video dan gambar memaparkan plat kenderaan “Isteri YAB Perdana Menteri” tular di media sosial, dengan Ketua Menteri, Hajiji Noor didakwa mengampu perdana menteri.