Penunggang Motosikal Maut Bertembung Lori Di Telupid

BELURAN: Seorang penunggang motosikal maut dalam satu kejadian kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan dan sebuah motosikal di Jalan Buis – Kiabau, Telupid, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Beluran, Supt Kasim Muda berkata dalam kejadian kira-kira jam 4.12 petang itu,  mangsa yang maut berusia 22 tahun dan warganegara Indonesia.

Beliau berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati lori tersebut dari arah Kiabau manakala penunggang motosikal bersama pembonceng dari arah Kampung Buis.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila sampai di tempat kejadian penunggang motosikal bersama pembonceng telah hilang kawalan ketika melalui satu jalan berselekoh dan basah selepas hujan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan sebuah lori.

“Akibat kejadian tersebut penunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala pembonceng cedera parah,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987