TONGOD: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) memainkan peranan aktif sebagai badan penilai kepada prestasi pendidikan dan pentadbiran di sekolah masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut Datuk Masiung Banah berkata barisan jawatankuasa PIBG boleh menyalurkan pandangan sambil bertukar pendapat dengan guru dan masyarakat mengenai prestasi akademik, sahsiah dan disiplin pelajar tanpa perlu ada sikap iri hati.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) mahukan tenaga pengajar dan ibu bapa menjadi pencetus semangat yang dicipta pelajar sama ada menerusi pencapaian akedimik atau bidang sukan.
Setiap bakat dan inovasi yang dicipta pelajar hendaklah diberikan galakan dan jangan sekali-kali kejayaan mereka dicantas secara halus, katanya ketika merasmikan Seminar Memperkasa Ahli Jawatankuasa PIBG peringkat daerah Telupid dan Tongod di Dewan Kg. Simpang Entilibon di sini, kelmarin.
Lebih 400 peserta dari 36 kumpulan jawatankuasa PIBG termasuk lima PIBG sekolah menengah di daerah Telupid dan Tongod menyertai seminar sehari itu.