KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) merancang menyusun semula struktur organisasinya daripada 74 bahagian kepada 26 bahagian termasuk Labuan, sebagai langkah memperkemas dan memperkukuh parti itu.
Ketua Penerangan PGRS, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, cadangan itu telah dipersetujui Majlis Tertinggi parti bagi memastikan gerak kerja lebih tersusun dan berkesan.
Menurutnya, struktur baharu itu akan berasaskan 25 kawasan Parlimen di Sabah serta satu di Labuan.
“Ini adalah ‘way forward’ untuk PGRS, bagi memudahkan pelaksanaan aktiviti parti dan memperkukuh peranan sebagai tunjang kerajaan negeri,” katanya.
Beliau menambah, penstrukturan semula itu juga dijangka mempertingkat kecekapan operasi parti di semua peringkat.
Dalam perkembangan berkaitan, PGRS akan mengadakan Perhimpunan Agung Khas dalam masa terdekat bagi membincangkan pindaan perlembagaan parti.
Mengulas persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang, beliau berkata PGRS akan terus mempertahankan kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
