BELURAN: Pesta Labuk Beluran dijadikan platform penting bagi memelihara warisan budaya tempatan sambil merangsang pertumbuhan ekonomi luar bandar.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, penganjuran acara seumpama ini membuktikan sokongan padu masyarakat terhadap usaha Kerajaan Negeri dalam memartabatkan seni, budaya dan identiti tempatan.
“Pesta ini bukan sahaja mempamerkan keunikan budaya masyarakat setempat, malah menjadi wadah untuk memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat.
“Semangat kerjasama yang ditonjolkan wajar dijadikan contoh agar warisan budaya ini dapat dikekalkan untuk generasi akan datang,” katanya ketika menghadiri pesta berkenaan, semalam.
Hajiji menegaskan bahawa kepelbagaian budaya di Sabah merupakan kekuatan negeri yang harus dihargai, bukan perbezaan yang memecahbelahkan rakyat.
Sempena penganjuran pesta tersebut, beliau turut melancarkan Projek Pembangunan Industri dan Sumber Kerang Sabah di Jeti Muara, Beluran, sebagai kesinambungan kepada projek rintis yang dimulakan di Tuaran pada Julai lalu.
