KOTA KINABALU: Kajian harus dijalankan bagi menambah jumlah peruntukan kepada setiap Ahli Parlimen kerajaan untuk membiayai program pembangunan di kawasan mereka.
Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, peruntukkan sedia ada RM3.5 juta setahun tidak mencukupi bagi membayai keperluan pembangunan di kawasan termasuk berkeluasan besar di Parlimennya.
Katanya, Parlimen Kinabatangan keluasanya sama dengan negeri Pahang sudah pasti peruntukan diberikan sudah tentu tidak mencukupi.
“Jumlah peruntukan seorang agak terhad ini sudah tentu akan menjadi kakangan untuk memenuhi keperluan pembangunan di kawasan.
“Ini sekali gus akan membantutkan usaha kerajaan bagi mentranformasikan pembangunan di kawasan luar bandar terutamanya di negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian pada sesi perbahasan Bajet 2022 di dewan Rakyat, di sini semalam.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kerajaan Persekutuan perlu menambah 10 peratus daripada Bajet 2022 bagi melaksanakan projek pembangunan secara tidak langsung mengeluarkan Sabah dari kemiskinan.
“Peruntukkan RM5 bilion setiap tahun, masih tidak mencukupi untuk memakmurkan negeri Sabah yang mempunyai keluasan lebih besar daripada negeri-negeri Semenanjung,” katanya.